Strategi DAP jika Anwar didapati bersalah [WAJIB BACA] Ahad, Jun 6 2010 

Anwar Ibrahim bergelut dengan kes liwat ke 2 nya, dan melihat kepada perkembangan kes ternyata situasi lebih memihak kepada Saiful di pihak pendakwa…ini berikutan pendedahan bukti oleh saksi iaitu Dr Razali tentang penemuan DNA yg dikenalpasti daripada sampel mani yang diperolehi daripada dubur pengadu.

Kata Dr Razali, tidak mungkin dia melakukan kesilapan kerana dia berpengalaman memeriksa mangsa liwat yang melibatkan kira-kira 100 buah kes sebelum ini.

Tapi bukan itu intipati yang aku ingin sampaikan, apa yang aku ingin sampaikan adalah strategi Pakatan Rakyat jika Anwar didapati bersalah oleh mahkamah nanti.

Meskipun Anwar dipenjarakan atas kesalahan liwat, mungkin sudah terlambat untuk PR berpecah atau berputus asa memandangkan PRU13 yang berlangsung pada 2012 kian hampir.

Mereka juga tahu mereka berada hampir di puncak kejayaan dek sokongan kaum Cina kini adalah cenderung kepada PakaTan Rakyat, apa yang perlu mereka lakukan adalah berusaha sekurang-kurangnya mendapat separuh daripada undi Melayu. Jadi mereka berpandangan kerjasama DAP,PKR dan PAS perlu juga diteruskan walaupun ada prasangka di dalam hati.

Apa yang akan PR lakukan nanti bagi menarik undi adalah dengan menimbulkan simpati rakyat kepada Anwar yang berada dalam penjara. Pakatan Rakyat akan melancarkan kempen “Undi Pakatan, Bebaskan Anwar”dalam PilihanRaya Umum akan datang. Dalam penjara pula, Anwar membuat strateginya sendiri…jika dahulu dalam penjara pada kes 1998, Anwar pernah mendakwa dirinya diracuni arsenik, disuntik virus HIV dan menuduh kerajaan zalim kerana tidak membenarkannya mendapatkan rawatan tulang belakang di luar negara, tidak mustahil alasan atau helah yang sama atau diubahsuai digunakan pada PRU13 nanti..tidak mustahil penyakit tulang belakang Anwar akan muncul semula pada PRU13 nanti…dan bermacam-macam dakwaan dikenakan kepada polis atau kerajaan seperti beliau disuntik dengan itu dan ini, sama seperti apa yang pernah dilakukan Anwar sebelum ini bagi mendapat sokongan rakyat.

Media Alternatif seperti Malaysiakini, Harakah, Roket dan blogger pro pakatan seperti Raja Petra termasuk media asing akan melancarkan perang saraf dan menghebahkan kepada seluruh dunia antarabangsa kononnya kerajaan BN zalim dan tidak berperikemanusiaan. Rakyat yang dipesongkan pemikiran mereka akan bersimpati kepada nasib Anwar dalam penjara lalu mengundi Pakatan dengan tujuan menyahut seruan kempen “Undi Pakatan, Bebaskan Anwar”…

Lantaran kejayaan kempen itu seterusnya menghakiskan sokongan kepada BN dan memberikan kemenangan kepada PR dalam PRU13. Namun apa yang berlaku sejurus itu adalah sesuatu yang tidak dijangkakan apabila Anwar tidak pula dibebaskan kerana DAP memberi alasan kerumitan undang-undang untuk membebaskan Anwar dari penjara. Sudah tentulah demikian kerana tiada sebab DAP perlukan Anwar selepas PR berjaya memenangi pilihanraya umum. Lagipun mereka tidak mahu Anwar mengambilalih kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang akan membuat keputusan yang cenderung kepada PKR dan bukannya DAP.PKR berasa tertipu tetapi merasa rugi jika keluar dari PR begitu saja, oleh itu mereka kekal saja bersama PR dan menganggap Anwar cumalah bahan kenangan. PAS pula tidak mementingkan apa-apa lagi kerana matlamat mengalahkan BN sudah tercapai..untuk mengelakkan PAS keluar PR, kerusi kabinet dari kementerian berprofil rendah akan diberikan kepada pemimpin PAS oleh DAP, mereka tidak berasa kesal pun asalkan mendapat gelaran Menteri atau Timbalan Manteri pun sudah memadai.DAP pula menjadi parti teras dalam Pakatan Rakyat.Melayu baru seperti PAS juga tidak berasa risau dengan kemaraan DAP dan menganggapnya sebagai “toleransi tertinggi bangsa Melayu” dan “demokrasi sebenar” lalu menyamakannya dengan kejayaan yg sama di Amerika di mana Presidennya adalah orang berkulit hitam.

Apa yang ditulis di atas cumalah ramalan semata-mata, cuma saya suka membuat ramalan dengan harapan ia tidak akan berlaku, dan jika ramalan di atas berlaku pun, sekurang-kurangnya kita tidaklah begitu terkejut kerana ia telahpun diramalkan terlebih dahulu dalam blog ini.

Era sebelum dan pasca pentadbiran Tun Mahathir Ahad, Jun 6 2010 

Semasa era pentadbiran Tun Mahathir, ramai yang mengkritik dan bersikap kritis terhadap gaya kepimpinan beliau. Ada yang membuat tuduhan bahawa Mahathir adalah seorang diktator, kuku besi dan bukan pengamal demokrasi tulen.

Sudah tentulah ramai juga yang menjangkakan suasana di Malaysia akan menjadi lebih aman dan lebih baik setelah Mahathir melepaskan jawatan dengan Tun Abdullah Badwi menjadi pengganti beliau, namun jangkaan itu bukan saja meleset malah menyaksikan Malaysia menempuhi pahit getir dan perpecahan yang tidak kita jangkakan boleh berlaku.

Tun Abdullah ingin menonjolkan kepada rakyat beliau adalah berbeza dengan kepimpinan sebelumnya, Abdullah mahu menunjukkan kepada semua orang bahawa beliau bersikap lebih terbuka atau lebih baik berbanding Mahathir. Keterbukaan (atau kelembutan) Abdullah boleh diterjemahkan dari sikap mengalahnya dengan membatalkan pembinaan jambatan bengkok ke Singapura, dan yang terbaru pemberian blok minyak di perairan Sarawak kepada Brunei. Abdullah juga dikatakan telah membebaskan Anwar daripada penjara – satu cara membuktikan kepada rakyat bahawa beliau adalah seorang yang sangat baik. Abdullah juga dilihat tidak suka mengamalkan ISA berbanding Mahathir, demo anti kerajaan oleh Kumpulan Hindraf misalannya boleh dicegah jika ISA dilakukan lebih awal. Pengamal media alternatif seperti bloggers, mahupun yang berdasarkan kaum mengambil kesempatan menyebar ideologi dan kutukan kepada kerajaan………tindakan ada diambil tapi sudah terlambat pada ketika itu.

Ironinya rakyat Malaysia kerana pada masa era Tun Mahathir ISA dipertikaikan kerana perlaksanaannya yang dianggap zalim dan tidak demokratik, dan pada era Abdullah pula ISA diperkatakan semula kerana sikap kerajaan yang mahu menjadi lebih baik kononnya dan tidak mahu menggunakan ISA sebagai langkah pencegahan. Mungkin silap kita juga kerana terlalu mengutuk kerajaan sehingga kerajaan takut untuk mengamalkan ISA kerana bimbang dituduh zalim, kejam dan sebagainya.

Kepimpinan Perdana Menteri seterusnya pula lebih bersikap pro perniagaan dan belajar dari kesilapan-kesilapan lama. Namun terlalu awal untuk memperkatakannya kerana Najib baru setahun menjadi Perdana Menteri, namun ada tanda-tanda yang menunjukkan Malaysia menuju ke arah yang betul..jika menyaksikan pertumbuhan ekonomi dan kejayaan 6 bidang keberhasilan negara.

Apa yang boleh kita pelajari daripada semua ini? Saya percaya di Malaysia tidak sesuai memiliki seorang pemimpin yang mahu dirinya “nampak sangat baik” di mata rakyat sehingga ada yang mengambil kesempatan ke atasnya. Seorang pemimpin harus memiliki semangat nasionalis dan idealisme yang kuat dan bukan bersikap seperti seorang peguam apabila menyelesaikan isu jambatan bengkok dan pertindihan blok minyak di perairan Sarawak. Ada masa-masa tertentu seseorang pemimpin perlu bersikap seperti seorang “diktator”, tegas dan berani melakukan sesuatu yang dianggap baik untuk negaranya walaupun kesan dari tindakannya itu akan menyebabkan dia dituduh sebagai mahafiraun, mahazalim dan sebagainya oleh sesetangah rakyat yang gagal memahami atau dipesongkan pemikiran dek kepentingan politik golongan tertentu.

Namun ada hikmahnya akan berlaku peristiwa ini. Sekurang-kurangnya rakyat tahu kenapa Tun Mahathir bertindak sedemikian, bagi Mahathir keamanan adalah segala-galanya. Sudah tentulah kita gagal memahaminya ketika itu kerana anasir-anasir jahat yang merosakkan keamanan negara sudah berjaya dicegah, oleh itu rakyat Malaysia sukar memahami ketegasan Mahathir kerana merasakan keamanan yang mereka kecapi datang dengan sendirinya, dan bukan “dicipta” atas ketegasan polisi atau dasar kerajaan . Tapi kita dapat memahaminya dengan mudah bukan pada era Mahathir, tapi pada era pasca Mahathir di mana kita menyaksikan penentangan atau keterbukaan serta politiking melampau berlaku dengan cara yang melukakan hati semua pihak.

Ramai yang merindui era pentadbiran Tun Mahathir………..saya percaya majoriti rakyat Malaysia beranggapan demikian, apabila menyaksikan ketidakpastian yang berlaku pada masa sekarang.

Adakah Selangor dan Penang itu negara lain, wahai Anwar? Sabtu, Jun 5 2010 

Ketua Pembangkang Pemusnah Rakyat Anwar Ibrahim kerap kali memburukkan pencapaian Malaysia di kalangan rakyat dengan menuduh ekonomi Malaysia merosot teruk berbanding negara-negara jiran..dikatakan pelaburan Malaysia jauh lebih teruk berbanding Vietnam dan Indonesia, dan bermacam macam lagi yang dikatakan mengenai Malaysia…tidak ada yang baik baik walaupun sedikit melainkan yang buruk buruk belaka.

Tapi apa yang tidak dijelaskan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah juga sebahagian daripada Malaysia. Adakah Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat itu negara lain dan bukannya Malaysia wahai Anwar Ibrahim? Adakah Anwar Ibrahim terlupa apabila dia mengatakan ekonomi Malaysia merosot dan tidak stabil, samalah seperti dia mengatakan ekonomi Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan juga merosot dan tidak stabil??

Dua negeri paling maju di Malaysia iaitu Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat…kegagalan kerajaan negeri yang diterajui PKR dan DAP masing-masing di negeri terbabit sebenarnya memberi impak kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhannya…jangan menuduh kerajaan persekutuan saja yang bertanggungjawab untuk menarik pelaburan..kerana kerajaan di dua negeri paling maju tersebut adalah lebih bertanggungjawab terhadap pentadbiran di negeri yang dikuasainya.

Atau mungkin juga PKR dan DAP sengaja mensabatoj dengan tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh menarik pelaburan asing ke negeri yang mereka kuasai sendiri , kemudian sebaliknya menuduh pula ia adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan semata-mata kerana gagal menguruskan ekonomi. Tentang ekonomi Kedah dan Kelantan pula tidak perlu disebutkan kerana dua kali lima malah lebih teruk lagi dari itu apabila berada di bawah Pemusnah Rakyat.

Usaha mensabatoj ekonomi Malaysia sebenarnya sudah bermula semenjak Anwar mencanangkan berlaku peralihan kuasa pada 16 September, ia sengaja diulang dan terus dilaungkan sehinggakan seluruh dunia percaya kepada laungan atau pembohongan tersebut. Negara-negara asing takut hendak melabur lantaran politiking yang melampau oleh Anwar yang menggambarkan berlaku ketidakstabilan politik di Malaysia..memang benar ekonomi ketika itu tidaklah begitu baik lantaran saingan dari negara Cina, India yang menawarkan kos buruh rendah…namun pembohongan Anwar mengenai 16 September semakin memburukkan keadaan.

Kepada Anwar, jangan terlupa apabila anda memburukkan ekonomi Malaysia…samalah seperti anda memburukkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang berada dibawah Pakatan Rakyat aka Pemusnah Rakyat…jangan sesekali terperangkap dengan permainan lidah Anwar Ibrahim….yang bercabang-cabang dan berbelit belit itu.

Demo anti judi bolasepak sempena Piala Dunia- tindakan bermuka muka? Sabtu, Jun 5 2010 

Seseorang yang mahu beriman tidak perlu meletakkan syarat atau kondusi agar dia mencapai keimanan yang dimaksudkan.

Jika seseorang berkata “saya mudah untuk beriman jika saya berada di dalam komuniti Islam yang baik”, adakah dia bermaksud dia menjadi sukar untuk beriman jika ditakdirkan Tuhan dia dia tidak berada dalam komuniti Islam yang baik?

Jika seseorang berkata, “saya mudah menunaikan amalan solat jika saya berada di dalam sebuah negara Islam” adakah dia juga bermaksud sukar untuk menunaikan solat 5 waktu sehari jika dia berada di negara bukan Islam?

Jika seseorang berkata, ” saya tidak akan terjebak dalam perjudian jika tidak ada kedai judi, atau kerajaan tidak meluluskan lesen judi”, adakah dia bermaksud dia tidak akan terjebak dalam perjudian hanya kerana tidak ada kedai judi atau kerana kerajaan tidak meluluskannya?…menjawab hal yang sama, kerajaan tidak pernah meluluskan pusat pelacuran dan penagihan dadah, tetapi pelacuran dan penagihan dadah tetap juga ada di negara ini walaupun serbuan dan penguatkuasaan undang-undang dilakukan.

Penentangan golongan tertentu dalam demo anti judi bolasepak baru-baru ini tidaklah mengejutkan. Namun penentangan tersebut meninggalkan satu persoalan tentang sejauh mana keikhlasan golongan yang melakukan demo anti judi tersebut…adakah mereka faham apa sebenarnya yang mereka tentang sebenarnya? adakah mereka baru tahu akan kedai perjudian berlesen yang sudah lama berada di sekekeling mereka? Saya faham mereka membantah kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak yang hanyalah bersifat sementara saja sempena musim piala dunia..tapi bila melihat secara mendalam lagi mengenai demo tersebut..tiada apa-apa yang “asli” dan tulus atau boleh dipercayai dari tindakan tersebut..Secara kasar, ianya boleh disamakan dengan demo gah yang bersifat hangat-hangat tahi ayam sahaja…lantaran ketidakikhlasan atau rasional hakiki kepada tekad yang membawa kepada perlakuan tersebut.

Kebanyakan sebab yang dilontarkan adalah kerana bimbang kesan negatif yang ditimbulkan oleh perjudian bola sepak jika lesen perjudian bolasepak diluluskan, cara mereka mengatakannya seolah-olah akan sangat mudah mereka terjebak dengan perjudian jika kelulusan akan diberikan…sebenarnya tanpa perlu menunggu isu lesen judi bolasepak ini tidak timbul pun kebimbangan terhadap perjudian sebelum ini walaupun perjudian bukanlah perkara luar biasa bagi yang bukan Islam.. tapi mengapa tiba-tiba menjadi sekeras itu tidak pula diketahui puncanya, selain keuntungan politik.

Dari satu segi, ia melambangkan sikap hipokrit atau bermuka-muka golongan tertentu ini.., jelasnya mereka mengambil kesempatan di atas kesilapan kerajaan.Mereka bukanlah membantah lesen judi bolasepak dalam erti kata sebenar, tetapi meraikan kesilapan kerajaan dengan membesar-besarkannya, ini samalah seperti mereka memperbesarkan perkara lain seperti “meraikan” kemiskinan, kemunduran, rasuah yang berlaku dalam negara seolah-olah kerajaan suka perkara tidak baik tersebut berlaku dalam negara.

Berbalik kepada perkara pokok, adakah kita menjadi tidak yakin kepada diri kita dengan cabaran yang berada di sekeliling kita, dalam konteks isu semasa iaitu perjudian bola sepak? Adakah kita lemah kerana “diri kita yang lemah” atau menjadikan elemen luar sebagai alasan kepada sebab kelemahan yang berlaku dalam diri..

Jika kita hendak menjadi orang yang beriman, jangan meletakkan syarat dan kondisi untuk mencapainya.

DEB- dasar yang semakin tidak popular dan implikasi kepada golongan muda Melayu Jumaat, Jun 4 2010 

Dalam tulisan saya yang lalu saya telah memperkatakan tentang Melayu Baru, iaitu Melayu Baru yang berbeza fikiran dan budaya mereka, Melayu Baru ini lahir daripada kejayaan DEB yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Saya terdorong untuk mengatakan di sini bahawasanya DEB tidaklah tercapai sepenuhnya jika dilihat dari sudut perangkaan, iaitu masih belum mencapai matlamat sebenar.

Tapi bolehlah dikatakan juga DEB sudah berjaya jika orang Melayu sendiri tidak mahu ianya diteruskan. Dengan kata lain, DEB dikatakan sudah berjaya apabila orang Melayu sendiri tidak mahu lagi memerlukan DEB sebagai tongkat.

Jujurnya, kebanyakan orang Melayu yang berjaya pada hari ini sebenarnya tidak sedar pun kejayaan yang mereka miliki hari ini adalah kerana DEB, jadi persoalan sama ada DEB ada atau tidak ada pada masa depan, sebenarnya tidak pun penting bagi mereka…saya percaya hal ini berlaku disebabkan pada mereka, adanya DEB pun, mereka masih perlu berusaha kuat untuk mencapai kejayaan.,,jadi melayu Baru ini beranggapan kejayaan yang telah dicapainya pada hari ini adalah kerana usahanya sebagai seorang individu yang menempuhi kesukaran ..Namun apa yang tidak dijelaskan, atau tidak nampak di mata mereka, kesukaran yang dikatakan telah mereka tempuhi dan lalui itu tadi boleh jadi jauh lebih sukar daripada yang dijangkakannya jika tidak adanya DEB.

Saya tidak terkejut jika majoriti Melayu tidak memberi reaksi negatif seandainya kerajaan mengumumkan DEB tidak lagi diteruskan..Ini kerana Melayu Baru telah berpuas hati dengan kejayaan yang mereka capai, dan yakin mampu berdikari dan bersaing dengan kaum yang lebih ke hadapan. Dari sudut ini, kredit harus diberikan kepada BN kerana berjaya melaksanakan dasar yang boleh dikatakan berjaya, jika tidak dari sudut perangkaan pun , tapi sekurangnya dari sudut emosi atau keyakinan positif org Melayu.

Keyakinan Melayu baru juga menyebabkan tidak penting siapa lagi yang meneraju negara ini pada pandangan mereka. Dalam tulisan lalu, saya ada menyebut Melayu Baru tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda atau ideologi, lebih bebas dan tidak terkongkong..satu cara melayu Baru menunjukkan reaksi ke atas keyakinan dan budaya bertindak baru mereka adalah dengan tidak cenderung kepada aliran arus perdana..iaitu dengan tidak memihak kepada BN..tetapi ini tidaklah bermakna mereka beranggapan PR adalah lebih baik, tapi secara lumrahnya seorang anak yang sudah berjaya dan berdikari, iaitu “Melayu Baru” tidak akan mahu lagi tinggal sebumbung dengan orang tua, iaitu “BN” yang membesarkannya.

Kebanyakan Melayu Baru adalah terdiri daripada golongan kelas pertengahan yang berjaya seperti kakitangan kerajaan, doktor, peguam, guru, pegawai dari insitusi swasta dan lain-lain lagi. Mereka tidak kisah sama ada BN atau PR yang menjadi peneraju kerana beranggapan ia tidak memberi kesan negatif kepada sosioekonomi mereka selagi siapa-siapa saja mentadbir negara dengan baik…rekod buruk BN yang dijaja dengan baik oleh PR pula menjadikan BN kelihatannya bukan lagi bapa yang baik kepada golongan yang membesar di sepanjang pemerintahan BN.

Golongan muda Melayu, seperti yang telah disedia maklum bukanlah golongan pro kerajaan atau pro arus perdana, lumrahnya golongan muda berdarah panas, mudah terikut-ikut kadang kala tanpa menyelidiki salah atau betul sesuatu perkara, kebanyakan mereka beranggapan maklumat yang diperolehi dari sumber alternatif adalah lebih sahih berbanding sumber daripada arus perdana seperti TV dan akhbar pro kerajaan…Suka atau tidak suka, golongan muda Melayu ini akan menempuhi lebih kesukaran berbanding melayu baru yang sudah berjaya dari kelas pertengahan seandainya DEB tidak ada lagi pada masa depan. Ini kerana golongan muda Melayu/Bumi masih dalam proses mencapai kejayaan seperti berebut-rebut memasuki universiti yang sesuai dan mencari pekerjaan yang dicita-citakan, di mana tanpa DEB bermakna persaingan menjadi lebih terbuka untuk mereka. Merit adalah lebih diutamakan berbanding hak keistimewaan berdasarkan ras. Dalam keadaan tiada nya DEB lagi, mereka perlu berusaha kuat, lebih kuat daripada “Melayu baru” yang telah berusaha suatu ketika dulu sehingga mencapai kejyaan yang mereka kecapi sekarang, di mana ketika itu pula DEB masih ada, dan jangan pula nanti golongan muda menghabiskan masa mengutuk kerajaan di atas kesukaran yang akan atau bakal dilalui. Ini kerana kerajaan tidak perlu mempunyai sebab untuk meneruskan dasar yang tidak lagi popular dari kalangan Melayu baru dari kelas pertengahan yang bukan saja sudah berjaya, tetapi berpuas hati, malahan tidak lagi berkeinginan menyokong aliran arus perdana/kerajaan.

Tapi seperti yang saya katakan dari awal lagi, tidak penting sama ada DEB ada atau tidak ada, kerana ada nya DEB pun seperti tidak ada pada Melayu Baru ni…Kepada golongan MELAYU kelas pertengahan, tahniah atas budaya berfikir Melayu Baru ini..Satu Malaysia benar-benar sudah mencapai matlamatnya apabila orang Melayu beranggapan mereka sudah boleh duduk dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Tapi setakat berpuas hati, adakah ianyamemadai? mungkin saya tidak perlu menjawab soalan ini kerana saya adalah salah seorang dari Melayu kelas pertengahan yang dimaksudkan tadi ha ha, secara sinikalnya saya ingin mengatakan kepada golongan muda Melayu yang membaca tulisan ini, “tiada sesiapapun yang berfikir tentang nasib anda…jadi lebih baik anda berfikir tentang nasib anda sendiri.”

Sesuatu yang baik untuk rakyat, tidak semestinya baik untuk negara Khamis, May 27 2010 

Defisit yang tinggi bagi sesebuah negara sudah tentulah tidak baik untuk negara. Negara yang mengalami defisit tinggi dikaitkan dengan perbelanjaan boros dan pendapatan yang kurang. Dari satu segi, ada rakyat beranggapan kerajaan tidak perlu risau dengan defisit tinggi asalkan perbelanjaan (atau jelas disebut perbelanjaan boros) digunakan untuk pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

Dalam konteks Malaysia, subsidi tinggi yang diberikan untuk menampung harga minyak mencerminkan kerajaan Malaysia sebagai prihatin dan menjaga kebajikan rakyat. Di Malaysia, kerajaan sangat berbelah bahagi untuk mengurangkan subsidi minyak kerana takut dicemuh rakyat, ini diapi-apikan lagi oleh suara parti lawan yang menuduh kerajaan zalim dan tidak memikirkan nasib rakyat bawahan (hujah populis pihak sebelah sana)…ada yang berpendapat kerajaan tidak perlu menjadi popular dengan melakukan dasar yang memihak kepada suara rakyat jika ia mendatangkan keburukan dari segi jangka panjang.

Untuk rekod, defisit Malaysia adalah bersamaan dengan 54% KDNK Malaysia..hutang negara juga sudah sampai ke satu angka di mana pakar ekonomi berpandangan kerajaan tidak perlu berkompromi lagi. Lakukan penstrukturan subsidi minyak dan laksanakan GST- kata pakar ekonomi kepada kerajaan, dan jangan manjakan rakyat- cadang pula pakar ekonomi yang lain. Masalahnya kerajaan Malaysia berhadapan dengan krisis keyakinan diri apabila berhadapan dengan rakyat yang semakin kritikal terhadap isu-isu yang dimanipulasi dengan baik oleh parti lawan. Sebagai misalan, mereka memainkan isu harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang. Sudah tentulah harga minyak menaikkan harga barangan lain, tapi yang tidak dijelaskan ialah kerajaan terpaksa menggunakan perbelanjaan besar untuk subsidi minyak untuk menghasilkan “asap”– satu benda tidak konkrit yang tidak kekal untuk generasi akan datang berbanding perbelanjaan untuk sekolah, hospital, premis perniagaan yang bersifat konkrit dan kekal dan boleh digunakan oleh generasi seterusnya.

Ekonomi Greece runtuh angkara hutang tinggi yang tidak terlangsai, jangan pula Malaysia menuju ke arah itu.

Bekerja dua kali ganda, untuk dua ganda hasil… Sabtu, May 22 2010 

Kehidupan malam dikaitkan dengan waktu untuk berehat, tetapi jika waktu malam digunakan untuk masa bekerja mungkinkah kita mendapat dua kali hasil usaha?. Salah satu ciri negara maju adalah “kesibukan yang tiada henti” atau “kepantasan”. Ini menjelaskan pendapatan sesebuah negara atau KDNK akan meningkat sebanyak 1% dari tahun semasa ke tahun semasa apabila negara tersebut membudayakan ICT dalam kehidupan seharian berdasarkan kajian yang dilakukan, dengan menjadikan Korea sebagai contoh…tapi bagaimana pula jika sesebuah negara menjadikan waktu malam juga dijadikan waktu bekerja,adalah pendapatan negara akan bertambah?

Jika waktu malam digunakan untuk bekerja, bermakna kos buruh meningkat. Sebuah institusi atau syarikat memerlukan dua kali ganda pekerja, tidak mungkin pekerja sama digunakan atas sebab keletihan. Tapi ini telah diatasi dengan keuntungan atau dua kali hasil pendapatan, jadi isu kos buruh bukan isu di sini. Bagaimana pula jika pusat membeli belah dibuka pada waktu malam? Apa yang pasti tidak semua premis perniagaan di buka pada waktu malam, atau sesuai dijalankan pada malam hari. Siapa yg akan berurusan atau membeli belah pada waktu malam?

Dari satu segi, sesebuah negara dapat menggunakan sepenuhnya tenaga rakyatnya dengan memanjangkan masa bekerja selama 24 jam..ini bermakna pengangguran dapat dikurangkan..atau dibasmi terus.Tapi buat masa ini bekerja pada malam hari (atau 24 jam) bagi sesebuah organisasi seperti kilang yang menghasilkan produk belum tentu merupakan kewajaran, melainkan ia betul-betul diperlukan…

Kecewa kes rogol murid di Sibu.. Sabtu, May 22 2010 

Semalam terdengar berita di Astro Awani tentang seorang guru berumur 32 tahun di Dalat, Sibu didakwa mencabul kehormatan 5 anak muridnya. Merurut laporan berita, isteri guru tersebut dalam keadaan mengandung semasa kejadian.
Sudah tentulah aku berasa sangat terkejut dan marah tentang jenayah tersebut. Apa yang menjadikan kemarahan itu bertambah suhunya apabila mengenangkan pelakunya adalah seorang guru. Ini satu lagi kes pagar makan padi.

Timbalan MP, Fuad Zarkashi menjelaskan itu tidak menggambarkan para guru secara keseluruhannya.
Perlu ada peraturan di sekolah yang patut diikuti, murid sepatutnya tidak berada di rumah guru atas sebarang sebab pun.

Apa-apa pun aku TIDAK MAHU mendengar kejadian seperti ini berlaku lagi untuk sampai bila-bila. Harap Kementerian Pelajaran sediakan garis panduan atau peraturan yang jelas supaya kejadian ini tidak berulang lagi…

Kenapa marah sangat dengan orang berada? Sabtu, May 22 2010 

Isu kesaksamaan atau persamaan merupakan isu sangat popular dan laku merentas zaman. Jika dilihat dalam karya sama ada bertulis atau bergerak seperti filem klasik, mahupun masakini , pasti bercerita tentang perbezaan darjat di mana cinta antara dua kekasih mendapat tentangan hebat daripada keluarga masing masing. Cerita cerita seperti ini selalunya mudah diingati kerana ciri-ciri dramatik seperti dendam dan kebencian si kaya terhadap si miskin dan si miskin terhadap si kaya.

Itu karya kreatif. Dalam politik, isu kesaksamaan juga sangat popular dan laku merentas zaman. Revolusi menentang golongan atasan, atau berada dapat digambarkan pada zaman lampau semasa dasar komunisme digerakkan..Para petani kaya dirampas harta mereka dan dimiliknegarakan, tiada kaya dan tiada miskin kerana semua orang adalah sama darjatnya selepas itu, ada yang tidak kena selepas itu sehingga dasar komunisme menemui kegagalan. Mungkin keterlaluan menyamakan kesaksamaan dengan komunisme, tapi saya lebih cenderung menyamakan kesaksamaan dengan bahasa yang lebih jinak iaitu sosialisme. Lawan kepada sosialisme adalah kapitalisme merujuk kepada golongan peniaga yang mengetepikan kemanusiaan demi kekayaan material.

Dalam konteks moden atau hari ini, mendapat sokongan golongan bawahan dan miskin dengan menuduh kekayaan yang dimilik oleh golongan kaya dengan cara zalim menyerupai manipulasi golongan pro-sosialisme menentang golongan kapitalis dahulukala. Frasa yang digunakan adalah seperti “penindasan”, “ketidakadilan”, “kezaliman” dan bermacam-macam lagi. Golongan berada terus dituduh mengamalkan rasuah, mengamalkan ketidakadilan, kronisme demi mendapat sokongan golongan bawahan. Tuduhan ini boleh jadi betul atau tidak, tapi dengan mengatakan seseorang memiliki sesuatu harta atau benda bukanlah tuduhan yang betul untuk membuktikannya…boleh jadi tuduhan dibuat untuk menimbulkan kebencian dan mendapat sokongan bagi menambah kuasa politik.

Kaedah ini nampaknya sangat mudah digunakan oleh sebuah parti politik di negara ini. Dengan menuduh si polan memiliki ini dan ini akan terus meruntuhkan kredibilitinya di mata masyarakat, masyarakat jadi benci kepada si polan, hanya kerana kekayaan yang dimilikinya. Di Malaysia, mejadi kaya raya adalah satu jenayah- mungkin itu persepsi yang hendak dimainkan olehh golongan yang kononnya memperjuangkan keadilan ini.

Tidak dinafikan ada segelintir golongan berada yang mendapat kekayaan dengan cara yang tidak berintegriti, namun saluran untuk mendakwa mereka tidak digunakan pula sebaliknya blog-blog dan pentas politik menjadi tempat mereka membuat tuduhan. Caranya pula agak mudah, hanya menunjukkan gambar tempat kediaman si polan yang agam maka dikaitkan terus si polan dengan rasuah dan integritinya terus dipersoalkan.

Cara ini pernah digunakan pada satu pilihanraya umum di mana kawasan kediaman rasmi Perdana Menteri diberi gelaran mahligai atau istana lalu dibandingkan secara terpilih dengan kehidupan rakyat yang serba kedaifan. Sekarang isu ini boleh difahami dengan baik.

Dalam satu segi, menjadi kaya bukanlah satu kesalahan..kita memerlukan lebih banyak orang kaya di negara ini dengan harapan banyak cukai boleh dikutip daripada mereka untuk membangunkan negara dan rakyat secara keseluruhannya. Yang salahnya ialah jika orang orang kaya itu tidak membayar cukai.

Kenapa isu kaya-miskin sering mendapat perhatian.Sebenarnya isu yang berkaitan dengan perbezaan adalah cara mudah dan berkesan mendapat sokongan golongan yang berada dalam kumpulan tertentu. Perbezaan ini boleh jadi dari segi taraf hidup seperti kaya-miskin, fahaman agama, pegangan politik seperti demokrasi dan republican di Amerika.

Sebagai rakyat jangan mudah dipancing dengan frasa-frasa yang saya sebut tadi seperti “penindasan”, “ketidakadilan”, “kezaliman” yang digunakan dengan sewenang-wenangnya..mungkin tajuk posting ini perlu disoalkan kepada anda “kenapa marah sangat dengan orang berada??” mungkin jawapan yang lebih baik adalah dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan yang terlalu berada.🙂

Melayu dan industri kreatif Sabtu, May 22 2010 

Industri Kreatif tidak kurangnya hebatnya seperti industri lain dan ia tidak boleh diketepikan. Salah satu kejayaan industri kreatif negara adalah kejayaan filem animasi Upin Ipin yang kini popular di Indonesia dan juga India. Walaupun kos penerbitan Upin Ipin memakan perbelanjaan 4 juta dan pulangannya di Malaysia hanya dalam 5 juta, maknanya keuntungan adalah dalam 1 juta tetap juga satu permulaan yang baik. Ini belum dicampur dengan jualan DVD dan produk berkaitan seperti T-Shirt dan sebagainya.

Begitu juga dalam industri hiburan, syarikat rakaman, merangkumi komposer,penulis lirik dan penyanyi mendapat royalti daripada nada dering yang didownload oleh pengguna telefon bimbit. Jualan album merudum akibat cetak rompak dan kewujudan stesen radio menyebabkan pendengar merasakan tidak perlu lagi membeli album, tapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia.

KRU telah melancarkan filem terbitan syarikat mereka iaitu Hikayat Merong Mahawangsa…akan ke pawagam seawal Januari 2011..(X pasti)..aku telah menyaksikan serba sedikit pembikinan dan juga trailernya dan ia kelihatan SANGAT hebat.

Oh ya..31 May ini..filem adaptasi dari novel popular lagenda Budak Setan akan dimainkan di pawagam. Novel Lagenda Budak Setan adalah novel sangat laris yang telah banyak diulang cetak..semoga kejayaan yang sama berlaku kepada filemnya.

Kenapa aku katakan Melayu, dan bukannya rakyat Malaysia? Aku katakan demikian memandangkan industri kreatif Malaysia sememangnya telah dikuasai oleh kaum Melayu..bidang ini sepatutnya diperkembangkan lagi kerana ia membekalkan peluang pekerjaan yang banyak…kita dapat membayangkan bagaimana sebuah filem, atau konsert memerlukan tenaga pekerja yang banyak untuk menjayakannya.

Masalah utama kita adalah marketing, tapi ini bukan satu masalah jika sebuah filem atau lagu itu berkualiti..menjawap permasalahan ini bagaimana pula filem Thailand dengan bahasa ibunda mereka boleh mendapat tempat di sini.

Kita sudah ada alatnya, kita hanya perlu kandungan yang berkualiti untuk mnjayakannya.

Laman Berikutnya »